Tuesday, December 29, 2009

Cinta lama biarkan berlalu...

Jika ada, itu namanya cinta. Cinta itu amat misteri dan tersendiri. Ia sentiasa wujud bersama berdenyutnya nadi. Jauh di dalam hati, cinta masih terasa segar. Ada kalanya kita masih teringat si dia. Walaupun semuanya itu sudah bertahun berlalu, dia terasa begitu dekat. Kita masih ingat suaranya. Kita masih nampak senyum tawanya.

Kita masih terdengar-dengar gurau sendanya. Rasanya baru semalam berlalu. Tahu-tahu usia kita sudah menghampiri setengah abad. Sudah bertahun rupanya dia pergi meninggalkan kita atau kita yang pergi membawa kejujurannya.

Terkadang kita berasa sunyi dan mahu mendengar kembali semua yang pernah kita dengari dari mulutnya. Kita mahu dia mengulanginya. Namun tidak mungkin, kerana yang pergi tidak mungkin kembali.

Di manakah dirimu sekarang? Apakah dirimu juga selalu teringatkanku sebagaimana aku sentiasa teringatkanmu? Kita sering tertanya-tanya, di manakah dia. Kita sering memujuk hati kita supaya menerima hakikat bahawa dia ‘telah tiada’. Tapi hati kita sukar hendak percaya. Ia terus teringat dan ia terus mereka-reka cerita. Pernah tak kita teringatkan seseorang dan kita amat merinduinya. Kita mahu segera berada disampingnya. Kita mahu dia mendengari kita? Itulah cinta namanya.

Misteri sungguh perasaan ini. Ia datang dan terus datang tanpa mempedulikan hakikat siapa kita lagi, dan siapa dia sekarang ini. Kita terus teringat dan terus teringat. Kita merindui suaranya, merindui gelak tawanya yang pernah kita simpan jauh di sudut hati kita. Kita ingin sekali mendengar kata-kata cintanya terucap lagi di telinga kita.

Itulah cinta. Ia misteri yang tidak pernah berjaya diberikan jawapan oleh manusia sejak dulu hingga kini. TUHAN menciptakan manusia bersama cinta dan kasih sayang. Bagaimanapun kita cuba menghilangkannya, ia tetap datang dan datang.

Andainya kita diberi kesempatan untuk mengulangi semua kehidupan, ingin kita lakukan yg terbaik. Namun, itu hanyalah ilusi. Kehidupan yg telah pergi tidak mungkin berulang. Usia yang telah terguna tidak mungkin kembali. Urat telah timbul, kedut-medut di wajah telah jelas, tenaga semakin berkurangan, mata kian kabur, langkah semakin terhenti-henti, tapi hati masih mekar dan segar.

Wahai hati, sedarilah hidup ini pergi bersama sejarahnya. Sejarah yang telah berlalu tidak perlu diulangi. Biarkan ia kekal sebagai sejarah yg boleh dipelajari apa-apa teladan dan pengalaman daripadanya. Esok yangg bakal dihadapi lebih perlu untuk dibina bersama besarnya tekad dan tingginya azam. Muncullah sebagai manusia yang gemilang lagi cemerlang...

0 tindakbalas dari peminat:

Post a Comment

Boleh Komen FB Admin Kat Sini

Followers